Laporan.

LAPORAN MUZAKARAH

Memandangkan ramai pihak ingin mengetahui perkembangan Muzakarah Ilmiah antara ASWAJA dan SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan maka saya dengan rendah hati menyediakan laporan muzakarah ini dengan sebaiknya.

Alhamdulillah. Pada 19 Januari 2017 jam 10.30 pagi telah berlangsung satu majlis muzakarah ilmiah di antara pihak ASWAJA dan pihak Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya. Pihak JAKIM, IKSIM dan beberapa ilmuan turut dijemput hadir.

Muzakarah kali ini dipengerusikan oleh YBhg.Dato' Wan Mohammad bin Dato' Sheikh Abdul Aziz mantan KP JAKIM merangkap Timbalan YDP Persatuan Ulama Malaysia.

Muzakarah dimulakan oleh Al-Fadhil Ustaz Zamihan al-Ghari dengan menyentuh tajuk Peranan Kita Dalam Memperkasakan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, syariah, fatwa dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

Presiden ASWAJA juga menegur method penulisan terbitan Pejabat Mufti Wilayah terutama Irsyad Fatwa siri 121 berkaitan hadis kepal tanah kubur 7x dan hadis membaca al Fatihah selepas solat fardhu yang menjadi titik kontroversi.

Ustaz Zamihan membuktikan hadis berkenaan bukannya palsu secara mutlak. Sebaliknya status hadis berkenaan diperselisihkan di kalangan ulama.

Walaupun admin Pejabat Mufti mengkategorikan hadis kepal tanah sbg palsu dgn bersandarkan hujah tidak menjumpai sumbernya dan tidak diperincikan kepalsuan berkenaan  namun hadis2 berkenaan telah direkodkan oleh para ulama besar feqah dlm mazhab al-Syafie dan Hanafi. Justeru, perlu ada kethiqahan kpd ulama dlm hal ini. Maka  sewajarnya kita bersifat tawaqquf dlm menilai hadis yg tidak dijumpai sanadnya adalah terlebih baik dari membuat keputusan ianya sebagai palsu.

Manakala hadis yg dinilai palsu oleh Imam Ibn Jawzi rhm bukanlah bersifat total. Sebaliknya status hadis berkenaan diperselisihkan dikalangan ulama hadis. Jumhur ulama mengkategorikan sbg tsiqah. Dan ada juga ulama yg menilainya sbg dhaif. Walau apapun, amalan membaca surah al-Fatihah selepas solat adalah dibenarkan kerana ia sabit dgn dalil2 lain yg banyak samada sahih, hasan ataupun dhaif.

Ustaz Zamihan juga turut menegur manhaj dan intisari penulisan Mufti Wilayah yang banyak berkiblatkan pandangan tokoh2 Wahhabi menerusi buku dan ucapannya.  Mengapa Qaul Muktamad mazhab al-Syafie sebagaimana termaktub dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 tidak diambil kira ?

Begitu juga dengan perihal penglibatan SS Datuk Mufti dalam memberi tauliah kpd tokoh2 Wahhabi dan kaitan SS Datuk Mufti dengan  program bercirikan aliran pemikiran berkenaan.

Ustaz Zamihan berhujah bahawa tindakan SS Mufti Wilayah adalah bertentangan dgn keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan Fatwa Negeri Johor, Perak, Pahang, N9 dan Sabah yang melarang penyebaran dakyah fahaman Wahhabi di Malaysia. Jika ia tidak ditambahbaik sudah pasti SS Mufti dan Pejabat Mufti akan menghadapi bebanan tohmahan dari masyarakat awam dan pihak berkuasa agama negeri-negeri lain.

Pada topik Pemerkasaan Ahli Sunnah Wal Jamaah juga, Ustaz Zamihan mengesyorkan agar SS Mufti melazimi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 21-22 Oktober 2014 yang menyatakan ajaran Wahhabi adalah tidak selari dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak sesuai diamalkan di Malaysia.

Selain itu, Ustaz Zamihan juga menjelaskan beberapa kenyataan ulama dunia mengenai penyelewengan ajaran Wahhabi dan percanggahannya dgn ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah arus perdana.

Seterusnya, giliran berganti kepada Mufti Wilayah di mana SS Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri tidak menjawab isu yang dibangkitkan Ustaz Zamihan. Sebaliknya beliau mengucapkan terima kasih atas niat ikhlas Ustaz Zamihan menegur pihak beliau demi kebaikan bersama umat Islam.

SS Datuk Mufti juga menyatakan bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh Al-Fadhil Ustaz Zamihan memerlukan bengkel khas dengan dibawakan kitab2 dan pakar untuk dibahas dan diperincikan. Beliau juga mempelawa ASWAJA untuk bekerjasama bagi memantapkan lagi penyampaian pihaknya di masa akan datang.

Seterusnya, SS Datuk Mufti menyerahkan gilirannya kepada pegawai beliau untuk menjelaskan mengenai hadis2 yang dibangkitkan. Pegawai beliau menghuraikan secara detail dengan menyatakan penilaian para ulama hadis terhadap perawi Muhammad bin Zambur al-Maliki dan Al-Harith bin Umair adalah berbeza di antara muhadith mutaqadimun dan muta'akhirun.

Lalu pegawai berkenaan mendatangkan penjelasan yang mendorong kepada penilaian Adil/thiqah/dhaif terhadap Muhammad Zambur dan Al-Harith bin Umair. Beliau menyimpulkan bahawa hadis tersebut dhaif. Ia jelas bercanggah dengan kenyataan Irsyad Al-Fatawa 121 yang menyatakan hadis tersebut tiada asalnya dan menjustifikan hadis yang tidak dijumpai sumber @ hadis yang diperselisihkan sebagai palsu.

Maka jelaslah berlaku kontradiksi antara kandungan Irsyad Al-Fatawa 121 dengan pencerahan pegawai Jabatan Mufti berkenaan. Akhirnya pegawai berkenaan turut bersetuju dgn hujah yg dikemukakan oleh Ustaz Zamihan.

Untuk sesi jawapan balas daripada Ustaz Zamihan, beliau berinisiatif secara sukarela memberi laluan kepelbagaian sudut pandangan dengan menjemput Ustaz Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali yang hadir di saat-saat akhir menggantikan CEO IKSIM yang di Kuala Lumpur kerana menyangkakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan masih di bangunan lama, untuk memberikan pandangan berkaitan tajuk Muzakarah iaitu Peranan Kita Di Dalam Memantapkan Pegangan Ahlis Sunnah wal Jamaah di Wilayah Persekutuan.

Ustaz Engku menekankan kepentingan untuk semua pihak termasuk SS Mufti untuk sama-sama berpegang teguh dengan pegangan Ahlis Sunnah wal Jamaah dan tidak melakukan tindakan-tindakan yang merugikan Ahlis Sunnah wal Jamaah apatah lagi kalau sehingga menguntungkan pihak-pihak yang menyeleweng daripada pegangan Ahlis Sunnah wal Jamaah seperti kelompok Wahhabi. Rujukan kepada pandangan-pandangan para ulama Ahlis Sunnah wal Jamaah terutamanya ulama-ulama empat mazhab hendaklah dilakukan termasuk kepada buku-buku sejarah di dalam menginsafi kedudukan dan bahaya fahaman Wahhabi.

RESOLUSI:

1. Pihak ASWAJA mencapai kata sepakat dengan pihak SS Datuk Mufti Wilayah mengenai status hadis membaca Al-Fatihah selepas solat. Ini kerana hadis yang dipertikaikan itu adalah tertumpu bab fadhail amal, maka hadis berstatus dhaif sekalipun dikira terpakai pada bab berkenaan. Namun masih ada hadis2 yg sahih yg menjelaskan dalil amalan membaca Al-Fatihah selepas solat. Dan ia merupakan amalan yg ma'thur.

2. Muzakarah berakhir dengan baik dimana kedua-dua pihak bersetuju untuk diadakan bengkel ilmu bulanan bagi membincangkan sesuatu isu secara spesifik dan tuntas.

3. Kedua2 pihak juga bersetuju utk mematuhi sebarang keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan,  Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 /negeri dan fatwa2 yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

4. Pihak SS Datuk Mufti kemudiannya mengiktiraf sumbangan Ustaz Zamihan dalam melakukan penambahbaikan kepada Pejabat Mufti berkenaan dimana SS Datuk Mufti sendiri berkenan menyampaikan tauliah mengajar agama kepada beliau di akhir majlis berkenaan.

Di kesempatan ini, pihak kami amat berterima kasih kepada pihak SS Mufti Wilayah kerana melayan kami dengan baik dan mesra sepanjang sesi muzakarah berkenaan. Sikap terbuka SS Datuk Mufti yang sudi menerima teguran daripada kami juga layak diberikan pujian. Cuma sikap terbuka ini perlu ada tempat dan panduannya, bukan sehingga terbuka longgar memberi ruang percambahan kepada fahaman-fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahlis Sunnah wal Jamaah seperti fahaman Syiah, Wahhabi, liberal dan lain-lain. Semoga Allah SWT satukan kita dengan kebenaran dan mengurniakan kepada kita ilmu dan kebijaksanaan untuk mengenali kebenaran dan juga kekuatan untuk istiqamah memperjuangkannya.

Wassalam.

SU Kerja
Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA)

21 Jan 2017

Comments